Sabtu, 27 Februari 2010

Petua Mendapat Pasangan oleh Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah Bhg 4

1. Ulang sebut perkataan, ayat atau slogan yang digemari bakal pasangan anda. Ini menyebabkan dia rasa istimewa dan dihargai dan akan tertawan kepada anda.

2. Kenalpasti keistimewaan bakal pasangan anda yang orang lain tidak nampak. Sampaikan kehebatan ini dengan bersemangat dan dia akan mudah tertawan kepada anda.

3. Untuk bakal pasangan yang popular dan sering dipuji , cari pujian yang original untuk menambat hatinya. Untuk orang yang tidak popular, sebarang pujian amat dialukan dan dihargai.

4. Beri penghargaan serta merta kepada setiap pencapaian atau kejayaan bakal pasangan. Ini membelai dan melembutkan hatinya terhadap anda.

5. Jika bakal pasangan memuji anda, pamerkan keseronokan anda dengan senyuman dan ucapan terima kasih dan bersyukur. Dia akan rasa dihargai.

6. Cari keunikan, kelucuan atau ‘kegilaan’ bakal pasangan anda. Nyatakan yang anda suka kepadanya sebab keunikan tersebut. Ini buat dia rasa istimewa.

7. Ramai pasangan sengsara bila isteri terlalu cantik atau suami terlalu handsome. Justeru, cari bakal pasangan yang setara dan sepadan dengan kita.

8. Orang yang merasa dirinya hodoh sukar untuk mendapat pasangan. Carilah kecantikan yang ada pada anda dan bentuk keyakinan diri. Hati yang suci dan keyakinan yang tinggi menyerlahkan kecantikan anda.

9. Wanita mudah tertawan kepada lelaki yang gentleman – bersopan santun, suka membantu, menghormati wanita, berani dan yakin diri.

10. Untuk jadi lebih menawan, berterusan belajar, perbaiki perangai dan peribadi, baiki kemahiran komunikasi, murnikan hati, pemaaf dan sentiasa bersangka baik.

11. Lelaki harus mempamerkan sifat kelelakiannya di samping memasukkan sifat perempuan dalam dirinya seperti lebih prihatin, memahami emosi , timbang rasa, dan gunakan gerak batin.

12. Perempuan harus mempamerkan sifat kewanitaan disamping menghayati sifat lelaki seperti minat dalam politik, sukan, memancing, dan aktiviti macho yang lain. Bertindak bijak tapi, jangan terlalu bijak.

13. Untuk menambat hati wanita, kerap bertanya tentang perasaannya, aktiviti yang dijalankannya, kegemarannya, kebenciannya atau sebarang perkara yang berkaitan dengan emosi.

14. Sebelum benar-benar rapat, orang perempuan harus elakkan diri dari bertanya bakal pasangan mengenai perasaannya mengenai sesuatu perkara, peristiwa atau situasi.

15. Orang lelaki amat pantang bila bakal pasangan menempelak atau menunjukkan kesilapan atau kebodohan lelaki tersebut. Ini cara terbaik memutuskan hubungan.

16. Orang perempuan mudah tertawan kepada lelaki yang boleh mengaku salah, meminta maaf, meminta bantuan, bertolak ansur, pandai mendengar, bersabar dan lemah lembut terhadap wanita.

17. Bila bercakap dengan lelaki, orang perempuan harus fokus kepada fakta dan sampaikan secara ringkas. Penjelasan yang berjela-jela dan memasukkan unsur perasaan akan membunuh minat lelaki terhadapnya.

18. Jika orang perempuan marah, pujuklah dengan kasih sayang. Tanya kenapa dia marah, dengari dengan teliti dan jangan komen atau cuba beri nasihat. Orang perempuan mudah sayang pada lelaki yang pandai mendengar dan sensitif kepada perasaannya.

19. Jika lelaki marah, jangan sibuk nak tanya kenapa dia marah. Pamerkan kasih sayang dan bentuk suasana yang tenang. Doakan dia dan beri masa untuk dia merawat dirinya sendiri.

20. Fahami bahawa orang lelaki bercakap secara terus terang, ringkas dan objektif. Orang perempuan sering bercakap secara berlapik, terperinci dan banyak yang tersirat.

Petua Mendapat Pasangan oleh Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah Bhg 3

1. Untuk wanita, jangan jual mahal terhadap bakal pasangan. Tetapi, nyatakan dengan hikmah kepadanya yang anda amat sukar untuk berkenalan dengan lelaki lain.

2. Kebanyakan lelaki mudah tertarik kepada perempuan yang simple, tidak materialistik, mudah berterima kasih dan redha dengan setiap pemberian lelaki tersebut.

3. Orang perempuan mudah tertarik kepada lelaki yang memberi perhatian, penghargaan dan penghormatan kepada mereka. Justeru, orang lelaki janganlah terlalu jimat atau kedekut.

4. Orang lelaki perlu belajar mengenal kerenah orang perempuan. perasaan, pemikiran, kehendak, keperluan, kesukaan dan kebenciannya.

5. Elakkan memberi tumpuan kepada kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan. Jangan sesekali mengutuk atau memalukan bakal pasangan.

6. Senyuman ikhlas, wajah yang menawan dan bahasa badan yang penuh kemesraan akan menambat lelaki terhadap wanita.

7. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang ada persamaan dan ada perbezaan sifat, tindakan dan minat. Terlalu banyak persamaan membosankan. Banyak sangat perbezaan menyesakkan.

8. Orang mudah tertarik kepada bakal pasangan yang ada sikap dan sifat yang saling mengimbangi dan melengkapkan sikap dan sifatnya.

9. Walaupun belum kenal rapat dengan bakal pasangan, nyatakan yang anda sering merasa atau berfikir seperti yang dia rasa atau fikir. Keserasian adalah tarikan.

10. Perempuan membentuk hubungan dengan berbual dan bercakap. Lelaki bentuk hubungan dengan melakukan sesuatu kegiatan secara bersama.

11. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang mempunyai persamaan daripada berbagai segi seperti kefahaman politik, aktiviti keagamaan, sikap terhadap harta, wang dan hobi.

12. Dua orang yang amat banyak perbezaan boleh serasi antara satu sama lain jika mempunyai satu atau dua persamaan yang mendalam seperti suka kepada kucing, suka melancong atau suka ramai anak.

13. Tindakan yang serentak akan menarik bakal pasangan terhadap anda. Contohnya, serentak berpaling, serentak angkat gelas, serentak berdiri, serentak nak ke tandas.

14. Tawan hati bakal pasangan dengan pamerkan emosi yang sama terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa – sama-sama gembira, sedih, terperanjat, benci, simpati dan sebagainya.

15. Dua insan mudah serasi jika mempunyai pentafsiran yang sama mengenai hubungan – tahap keakraban, kebebasan, kebergantungan, pemberian, pengorbanan dan sebagainya.

16. Kenalpasti ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri ini dalam diri anda dan pamerkan kepadanya yang anda mempunyai ciri-ciri tersebut.

17. Semua orang mencari cinta sejati tanpa syarat. Bakal pasangan anda akan tertarik kepada anda jika anda mengasihinya bukan kerana wajah, harta, keturunan atau glamornya.

18. Bakal pasangan akan tertawan kepada anda jika anda dapat bantu mengukuhkan imej dirinya, rangsang semangatnya dan pupuk keyakinan dirinya.

19. Keikhlasan amat penting dalam memuji atau memotivasi bakal pasangan. Jika kita didapati bohong, dia akan terus menjauhkan diri daripada kita.

20. Pujian yang berhikmah dan ikhlas bertindak sebagai magnet yang menarik anda kepada bakal pasangan. Pujian daripada kawan baru lebih bermakna dan berkesan berbanding pujian daripada kawan lama.

Petua Mendapat Pasangan oleh Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah Bhg 2

1. Cinta datang melalui mata lalu turun ke hati. Justeru, perhebatkan hubungan mata secara memandang bakal pasangan dengan penuh kasih sayang.

2. Kita boleh berkomunikasi melalui fikiran. Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni anda terhadap pasangan dengan gelombang fikiran ini secara berterusan hingga berjaya.

3. Ramai yang terlepas peluang dan patah hati sebab lewat menyatakan hasrat kepada bakal pasangan. Perkara yang baik disegerakan (iaitu menyatakan perasaan anda kepada bakal pasangan).

4. Tidak salah untuk orang perempuan memulakan usaha untuk berkenalan. Orang lelaki akan sentiasa merasakan mereka yang memulakan perkenalan walaupun sebenarnya orang perempuan yang mulakan.

5. Berkomunikasi dengan mesra dan bersemangat menggunakan lidah, mata, hati dan bahasa badan. Elakkan bercakap sambil lewa atau kurang sopan terhadap bakal pasangan.

6. Berbual dengan pasangan mengenai apa yang dia suka. Beri tumpuan kepada minat dan perasaannya. Elakkan sibuk memberi tumpuan kepada diri sendiri.

7. Layan bakal pasangan dengan mesra seperti kawan lama walaupun baru berkenalan. Bentuk suasana keintiman dengan segera agar bakal pasangan rasa selesa.

8. Makin mudah kita menceritakan hal peribadi yang munasabah kepada bakal pasangan, semakin mudah dia menceritakan hal dirinya kepada kita.

9. Berdoa dan latih diri agar kita pandai mendampingi orang lain dan seronok untuk didampingi oleh orang lain. Buang perangai yang menyebabkan orang benci kepada kita.

10. Beri sayang untuk mendapat sayang. Orang yang masih ada perasaan benci terhadap sebarang orang boleh menyebabkan bakal pasangan benci atau tidak tertarik kepada kita. Justeru buang semua benci.

Petua Mendapat Pasangan oleh Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah Bhg 1

1. Semua orang ada jodoh atau pasangan yang menanti dan biasanya ia berada tidak jauh dari anda. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada jauh darinya. 

2. Jodoh itu ketentuan Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh disertai dengan tawakkal, insyallah akan menemukan anda dengan pasangan anda.

3. Ramai orang masih belum bertemu jodoh kerana mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga anda bertemu jodoh.

4. Seimbangkan hidup anda dengan sempurna agar diri anda jadi seperti “magnet” yang menarik bakal pasangan anda kepada anda.

5. Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap semua orang di dunia ini. 6. Agar mudah orang sayang, cuci hati dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran, maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.

7. Sayangi semua orang di sekitar anda dan anda akan menarik sayang terhadap anda. Jika anda membenci orang, ditakuti bakal pasangan anda akan membenci anda.

8. Orang yang sedang mencari pasangan harus sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pasangannya pada bila-bila masa. Justeru, kita perlu sentiasa dalam keadaan yang paling menarik setiap masa. Tanggapan pertama adalah yang terpenting.

9. Untuk lelaki, tarikan pertama ialah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah dan bentuk badan menjadi tarikan pertama. Sediakan diri untuk menawan bakal pasangan anda.

10. Buka hati dan minda anda untuk menerima cinta. Cinta boleh berputik pada bila-bila masa. Cinta mudah datang kepada mereka yang sentiasa bersedia untuk menerima cinta.

Tasik Paling Dalam

Tasik Baikal yang terletak di bahagian selatan timur Siberia (Russia) adalah tasik paling dalam di dunia. Jarak kedalaman bahagian tengah Tasik Baikal mencapai sehingga 1,637 meter manakala panjangnya sejauh 620 kilometer dan lebarnya ialah 32 hingga 74 kilometer.

Oleh kerana kandungan air di tasik tersebut terlampau banyak ditambah pula dengan kandungan air dari hujan ribut semasa musim luruh menyebabkan tasik tersebut tidak membeku sehingga ke bulan Januari.

Tasik tersebut menjadi tempat tinggal bagi haiwan-haiwan yang unik seperti anjing laut Baikal yang hanya dapat ditemui di kawasan air yang bersih dan segar. Air di Tasik Baikal sebenarnya memang bersih dan segar kerana ia dilimpahi dengan air dari pelbagai anak sungai yang mengalir ke dalamnya.

Tips Amalan Pemakanan Sihat

1. Jangan makan dan minum sambil berdiri, berjalan atau baring

2. Biasakan rehat makan (puasa Isnin dan Khamis) bagi menyihatkan perut. 

3. Jangan makan makanan yang terlalu panas atau terlalu sejuk (makanan/minuman yang baru dikeluarkan dari peti ais atau penggunaan ais batu sangat tidak digalakkan. 

4. Kurangkan makan makanan berminyak (bergoreng), berlemak dan berkolestrol. 

5. Kurangkan makan makanan mengandungi garam dan gula yang tinggi.  

6. Kurangkan minuman manis, mengandungi kafein dan gas. 

7. Elakkan makan makanan mengandungi bahan perasa, bahan pengawet, MSG, dan bahan pewarna.
 
8. Amalkan minum jus buah atau makan buah-buahan seperti kurma, betik, pisang dan lain-lain pada awal pagi. (Petua orang dulu-dulu ialah mulai makan/minum benda-benda yang belum bermasak pada awal pagi.
 
9. Disyorkan makan nasi sehari sekali sahaja jika tidak bekerja kasar.  
 
10. Pilih lauk yang seimbang dari segi zat dan vitamin.  
 
11. Biasakan makan makanan/minuman berasaskan kacang dan bijirin kerana ia adalah sumber protin dan bahan terbaik untuk kecerdasan minda.
 
Sumber: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Tips Keselamatan Ketika Berada Di Dalam Kereta

1.  Pastikan kereta anda berada di dalam keadaan yang baik dan minyak kereta anda sekurang-kurangnya separuh tangki.  

2.  Jangan biarkan minyak anda terlalu sedikit sehingga menyebabkan anda terpaksa berhenti untuk mengisi minyak terutamanya di kawasan yang anda tidak biasa.  

3.  Pastikan kunci kereta anda di keluarkan terlebih dahulu sebelum anda keluar atau meninggalkan bangunan ke tempat letak kereta. Sikap suka mencari kunci di dalam beg anda ketika sampai di kereta boleh membuka peluang kepada penjenayah untuk menyerang anda.  
4.  Perhatikan sekeliling anda sebelum masuk ke dalam kereta. Jika anda was-was terhadap persekitaran anda ketika itu, terus berjalan melepasi kereta anda ke tempat yang selamat.  

5.  Kunci kereta anda sebaik sahaja anda memasuki kereta anda.  

6.  Pastikan pintu di kunci walaupun sebelum anda menghidupkan enjin kereta anda.  

7.  Apabila anda berhenti dijalan raya, pastikan pintu anda berkunci dan jarak antara kereta anda dengan kereta hadapan tidak begitu rapat. Ini mengelakkan penjenayah daripada mencari peluang untuk memasuki kereta anda dan seterusnya menyerang anda.  

8.  Letakkan kereta anda di tempat yang terang dan selamat, walaupun anda meninggalkan kereta anda tidak lama.  

9.  Perhatikan sekeliling anda sebelum keluar daripada kenderaan anda. Jika seseorang dengan tiba-tiba menghampiri anda dengan tujuan menyerang, hidupkan enjin dan keluar daripada kawasan tersebut secepat mungkin.  

10.  Pastikan tempat duduk hadapan dan belakang kosong dan seperti biasa kunci kereta sudah tersedia di tangan anda apabila anda di ekori di kawasan tempat letak kereta, dan anda masih lagi jauh daripada kereta anda, cuba menginsut di bawah kereta berhampiran. Posisi ini menyukarkan penjenayah untuk menyerang anda yang berada di bawah kereta.  

11. Jika penyerang berjaya memasuki kereta anda ketika anda berada di dalamnya, gunakan segala kekuatan anda untuk keluar daripada kereta tersebut. Walaubagaimanapun, jika anda masih tidak berjaya melepaskan diri, pandu kereta anda melanggar pendua jalan, tembok, tiang dan apa sahaja yang dapat menyebabkan kemalangan kecil. Ketika penyerang anda beralih perhatian gunakan peluang ini untuk keluar secepat mungkin daripada kereta anda. Lari sekuat hati sambil menjerit meminta pertolongan.Cuba menarik perhatian orang untuk menolong anda.  

12.  Jangan berhenti untuk menolong orang yang anda tidak kenali ketika keretanya rosak, sebaliknya apa yang anda boleh lakukan untuk menolong ialah dengan memandu ke pondok telefon berdekatan dan menelefon polis atau bantuan lain.  

13.  Jika tayar anda pancit di tengah jalan, teruskan juga pemanduan ke tempat yang selamat, terang dan ramai orang. Lebih baik merosakkan tayar anda daripada mengambil risiko untuk mengabaikan keselamatan anda.  

14.  Jika anda terlibat di dalam kemalangan, duduk di dalam kereta anda sehingga polis sampai. Di dalam kemalangan kecil terdapat pemandu yang akan meminta keterangan pemanduan seperti lesen dan insuran. Tunjukkan lesen dan insuran anda melalui cermin sahaja.  

15.  Jika anda diekori ketika di dalam perjalanan, jangan memandu pulang kereta anda sebaliknya pandu kereta anda ke balai polis atau balai bomba yang berhampiran. Bunyikan hon kereta anda. Jika tidak, pandu kereta anda ke stesen minyak atau ke kawasan tumpuan orang ramai dimana anda dapat menelefon polis.  

16.  Jangan tinggalkan kereta anda melainkan anda pasti bahawa anda akan dapat memasuki bangunan dengan selamat.  

17.  Cuba dapatkan nombor pendaftaran kereta serta mengecam kereta yang mengekori anda.  

18.  Jika boleh, cuba untuk memiliki sebuah telefon bimbit di dalam kereta anda untuk tujuan kecemasan. ( Pastikan juga bateri telefon anda di cas serta telefon anda boleh membuat panggilan) 

sumber: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

    Rabu, 10 Februari 2010

    Tayar Haus Antara Punca Kenderaan Bergetar

    Ada ketikanya pemandu kereta tidak selesa apabila stereng yang dipegang bergetar dan tidak stabil kerana berat ke sebelah kiri atau kanan. Lebih merisaukan apabila seluruh badan kereta ikut bergetar.
    Apabila berhadapan dengan keadaan ini, antara sebab utama kerosakan yang berlaku diberi perhatian termasuk tekanan tayar depan terlalu rendah atau ukurannya tidak sama, kehausan tayar depan tidak sama, kehausan atau kelonggaran sambungan sistem kemudi atau kotak gear stereng bergoyang, penyelarasan jajaran roda depan kurang tepat dan roda depan tidak seimbang.

    Jika menghadapi masalah seperti itu pemandu dan penumpang pasti tidak selesa, lebih-lebih lagi jika sedang dalam perjalanan jauh. Untuk itu, punca kerosakan dan getaran perlu diketahui. Apabila memandu kenderaan penumpang atau trak, terutama trak kecil diatas jalan kasar atau rosak, biasanya akan terasa ada goncangan sehingga stereng perlu dipegang dengan kuat. Namun demikian, anda juga dapat merasakan adanya getaran atau goncangan pada stereng dan badan kenderaan walaupun keadaan jalanraya datar dan baik, pada suatu kelajuan antara 70 kilometer sejam (kmj) dan 80km.
    Keadaan sebegini dinamakan 'shimmy'. Jadi, jika berhadapan dengan keadaan begini mula-mula periksalah tekanan tayar depan, keadaan sistem kemudi atau skru roda depan. Kemudian periksa kehausan tayar depan, sebaik-baiknya masih mempunyai rusuk bunga dengan tebal sekurang-kurangnya 2mm.
    Gunakan tayar baru untuk perjalanan keluar bandar. Ada kemungkinan getaran yang berlaku boleh dihilangkan apabila tayar yang sudah haus diganti dengan tayar baru atau setelah tayar kiri-kanan ditukar kedudukannya. Namun demikian, jika getaran masih terasa juga, sebaiknya pemeriksaan dilakukan dengan lebih teliti kerana dibimbangi kerana disebabkan kehausan atau kelonggaran pada sistem rod kemudi dan sistem gantungan depan; atau kerana penyelarasan penjajaran roda depan yang kurang tepat hingga menyebabkan roda tidak seimbang. Untuk memeriksa dan membuat pembaikan bagi masalah berkenaan diperlukan alat dan kemahiran. Roda tayar dilengkapi satu alat pengimbang. Alat itu menunjukkan letak dan besarnya pengimbang yang harus dipasang pada rim roda.
    'Shimmy' boleh terjadi apabila roda tidak dikunci dengan baik pada tempatnya, atau rod gandar tidak segaris dengan lubang pada roda. Jadi, banyak faktor yang boleh menyebabkan 'shimmy'; beberapa kesalahan dapat diperbaiki dengan mudah tetapi ada pula yang memerlukan kepakaran tertentu untuk mengatasinya.
    Sumber Maklumat: http://www.kereta2u.blogdrive.com/archive/1.html

    Isnin, 4 Januari 2010

    Isu Jet: Hanya Staf Bawahan Terlibat, Bakal Didakwa

    1. Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan hanya kakitangan peringkat bawahan terlibat dalam kes kehilangan dua enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dua tahun lalu.

    2. Gani mendedahkan Uruguay merupakan destinasi terakhir kedua-dua enjin G J85-21A itu ditemui selepas ia hilang dari pangkalan udara Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 2007. Bagaimanapun beliau tidak pasti sama ada kedua-dua enjin itu masih berada di Afrika Selatan ataupun sudah dihantar ke tempat lain.

    3. Sebelum ini, empat orang termasuk tiga pegawai rendah TUDM ditahan dan dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

    4. Polis telah menyiapkan siasatan terhadap kes kehilangan enjin itu, yang mendedahkan ia telah dihantar ke satu alamat di Subang Jaya, Selangor, pada 30 Dis, 2007 dan 1 Jan tahun lepas.

    5. Jabatan Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan kes berkenaan bagi membolehkan polis menyiasat lebih lanjut dan mendapatkan dokumen-dokumen yang penting yang berkaitan, di samping mengenal pasti bagaimana enjin ini boleh dibawa ke luar negara.

    6. Peguam Negara menyifatkan kes kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E itu sebagai “perkara serius”, dan memberi jaminan pejabat beliau akan berusaha habis-habisan bagi menyelesaikan kes tersebut.

    7. Polis telah hantar semula kertas siasatan berhubung kes kehilangan dua enjin jet pejuang milik TUDM kepada Jabatan Peguam Negara setelah diminta membuat siasatan lebih terperinci. Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengesahkan hanya dua enjin sahaja yang hilang dan bukan empat seperti yang dilaporkan sesetengah media berdasarkan sumber.

    8. Musa berkata tiada lagi tangkapan akan dilakukan ketika ini dan segala-galanya bergantung kepada jawapan daripada Jabatan Peguam Negara.

    Antara nama dan hakikat — Md Asham Ahmad


    Akhirnya mahkamah memutuskan bahawa gereja Kristian ‘berhak’ menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada Tuhan yang disembah oleh mereka.


    Pastinya mereka telah mengemukakan hujah mereka bagi mempertahankan ‘hak’ itu, dan tidak kurang juga golongan Muslim sendiri termasuk golongan ustaz-ustaz yang memperakui kebenaran hujah itu serta menyokongnya pula.


    Di kalangan mereka ialah ustaz-ustaz politik yang hanya melihat keuntungan politik ekoran masalah ini. Akibatnya, belum pun mahkamah memutuskan apa-apa umat Islam di negara ini sudah berkecamuk fikirannya dan berpecah-belah pandangannya.


    Hujah utama yang dikemukakan bagi mempertahankan hak orang Kristian itu ialah bukti sejarah, bahawa kalimah Allah telah digunakan oleh orang Arab semenjak sebelum Islam, dan terus digunakan oleh orang Arab Kristian khususnya sehingga kini.


    Justeru, mereka berhujah kaum Muslimin, lebih-lebih lagi di Malaysia ini, tiada hak untuk melarang penggunaannya.Sebelum kita mematahkan hujah yang dikemukakan itu perlu dinyatakan dua perkara dasar:


    Pertama, bahawa isu ini berkait dengan penggunaan kalimah “Allah” dalam bahasa Melayu, yakni salah satu bahasa yang tergolong dalam rumpun bahasa Islam.


    Kedua, hak menggunakan sesuatu kalimah hanya sah apabila hakikat yang dirujuk dengan kalimah itu tidak lain daripada kenyataan yang dimaksudkan oleh kalimah itu. Justeru menjadi kesalahan bagi seseorang yang meletakkan gelaran Ir. di hadapan namanya jika dia bukan seorang jurutera, dan dia tidak boleh mendakwa itu haknya.


    Hujah di atas boleh dipatahkan dengan jawapan-jawapan berikut.


    Pertama: kalimah Allah adalah nama khas, bukan kata terbitan daripada mana-mana perkataan Arab. Justeru, ia bukan boleh digunakan sebagai kata ganti bagi menterjemahkan sesuatu perkataan daripada bahasa lain. Sebagai bandingan seorang yang bernama Mr. Black tidak boleh ditukarkan namanya kepada Encik Hitam kalau kita berbicara tentangnya dalam bahasa Melayu kerana nama itu adalah nama khas yang merujuk kepada orang yang tertentu.


    Kedua: memang benar kalimah itu telah sedia wujud dan digunakan oleh orang Arab semenjak sebelum Islam, akan tetapi itu tidak bermakna mereka memahami maknanya yang hakiki. Sebaliknya mereka telah mensyirikkan maknanya sehinggakan kalimah Allah yang mereka sebut itu sudah hilang hakikatnya, yakni mereka menyebut Allah, tetapi mereka maksudkan yang lain.


    Contohnya: sekiranya yang dimaksudkan itu ialah Tuhan yang beranak atau diperanakkan maka itu bukanlah Allah, kerana Allah Maha Esa, tidak beranak mahupun diperanakkan.


    Sekiranya mereka berkeras dengan pendapat mereka walaupun setelah nyata kebenaran, maka itu adalah pendustaan dan kekufuran. Justeru al-Quran mengisytiharkan: “Sesungguhnya kufurlah orang-orang yang berkata bahawa Allah itu satu dari tiga” (al-Ma’idah: 73).


    Mereka kufur kerana apa yang mereka katakan tentang Allah itu tidak benar, dengan kata lain apa yang mereka maksudkan itu pada hakikatnya adalah pendustaan terhadap Allah.


    Ketiga: kedatangan Islam adalah bagi menyucikan kalimah itu daripada penyelewengan makna yang telah berleluasa dan berlarutan zaman-berzaman. Justeru Islam datang dengan kalimah tayyibah (kalimah yang elok): la ilaha illallah, yang mengandungi penafian segala kepalsuan yang dinisbahkan kepada Allah dan pengisbatan bahawa yang layak disembah hanyalah Allah.


    Adalah jauh daripada kebenaran mereka yang mendakwa Islam tidak pernah melarang sesiapa pun menggunakan kalimah Allah. Bukankah syirik kemungkaran terbesar yang diperangi oleh Islam? Sesiapa pun yang mensyirikkan Allah pada hakikatnya telah memalsukan makna kalimah itu walaupun mereka tetap menuturkan kalimah itu dengan lidah mereka.


    Keempat: oleh kerana bahasa Melayu adalah bahasa Islami, makna yang diisbatkan bagi kalimah ‘Allah’ ialah makna yang dikehendaki oleh al-Quran. Justeru, usaha memberikan makna yang lain bagi kalimah itu mesti dianggap sebagai usaha merosakkan keaslian bahasa Melayu, dan oleh itu menjadi tanggungjawab orang Melayu dan kerajaan yang dipimpin mereka memelihara kesucian bahasa mereka agar tidak dicemari oleh unsur-unsur asing yang boleh mengelirukan pandangan hidupnya. Dalam kekalutan menghadapi acahan ini kita melihat langkah sumbang para ustaz yang diharapkan oleh masyarakat untuk meleraikan kekeliruan mereka.


    Seorang ustaz berkata: bahasa dan kalimah yang disebut tidak penting dalam soal akidah Islam.


    Daripada ustaz ini harus dituntut penjelasan apakah perbezaan antara kalimah yang baik (kalimah tayyibah) dengan kalimah yang keji (kalimah khabithah) kerana al-Quran sendiri membangkitkan persoalan ini (Ibrahim: 24-27), dan menegaskan bahawa “Allah menetapkan hati orang-orang yang beriman dengan kata-kata yang sabit (yakni la’ilaha illallah) dalam kehidupan dunia dan akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim”.

    Apa yang ustaz itu katakan adalah suatu kekeliruan kerana akidah yang benar tidak boleh dipisahkan daripada kalimah yang benar. Alangkah berlawanan sekali apa yang dikatakan itu berbanding seruannya agar umat Islam kembali kepada al-Quran dan Sunnah sedangkan apa yang tercatat pada kedua-duanya itu tidak lain daripada kalimah-kalimah!

    Ustaz yang sama juga dengan semberononya menyalahkan ilmu kalam sebagai punca kelemahan akidah kaum Muslimin hari ini. Pada hakikatnya para ustaz yang jahil ilmu kalam seperti beliaulah yang menjadi punca kemerosotan pemikiran Muslim hari ini.

    Lantaran kejahilan mereka sendiri, telah memusuhi ilmu kalam dan ahlinya (mutakallimun) yang banyak berjasa itu. Bagaimana boleh dimusuhi ilmu yang memberikan keahlian kepada seseorang bagi memahami Kalam Allah?

    Para mutakallimun adalah orang yang amat menginsafi hakikat bahawa bahasa tidak boleh dipisah daripada akal. Justeru al-Quran diturunkan dalam bentuk bahasa kepada makhluk Allah yang berakal kerana hanya yang berakal mampu memahami dan memanfaatkan bahasa. Sebagaimana Allah mengajarkan kita agamanya dengan perantaraan bahasa, demikian jugalah kita menyampaikannya kepada seluruh manusia. Adakah bahasa yang lebih baik daripada yang disusun menurut tertib berfikir yang sihat? Kerana bahasa juga boleh dijadikan alat menyebarkan pemikiran dan akidah yang sesat.

    Di sinilah sumbangan besar ilmu Kalam dan para mutakallimun. Mereka mara ke hadapan menghadapi ancaman pemikiran asing menggunakan bahasa bertertib logik bagi mengisbatkan tauhid dan menghancurkan syirik.

    Syirik dalam bentuk penyembahan berhala amat mudah difahami walaupun oleh si badwi yang hidup berkelana di padang pasir. Akan tetapi Islam bukan diturunkan hanya untuk orang yang tahap pemikirannya seperti si badwi itu.

    Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan dikurniakan ilmu kepada darjat-darjat yang berbagai (al-Mujadalah: 11) kerana tahap akal dan kefahaman mereka tidak setaraf.

    Persoalan yang mendasari perbezaan antara agama khususnya antara agama Islam dan Kristian memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap dasar-dasar pemikiran, yakni falsafah.

    Asas-asas pemikiran yang mendasari kebudayaan Barat yang begitu berpengaruh pada hari ini juga adalah berakar-umbikan falsafah. Justeru, bagi menghadapi mereka, ilmu kalam dan tradisinya perlu dihidupkan kembali bukan diperangi dan diperlekehkan.

    Unsur-unsur syirik yang terkandung dalam falsafah dan ideologi tidak mungkin difahami oleh si badwi dan orang-orang yang memiliki tahap pemikiran setaraf dengannya. Demikian jugalah tauhid, ia hanyalah omongan kosong jika diserahkan pengajarannya di tangan orang yang bukan sahaja tiada kewibawaan tetapi juga terlalu bongkak untuk mengenali dan mengakui empunya wibawa yang sebenar. Inilah masalah sebenar kita. — Utusan Malaysia