Ahad, 11 April 2010

Carcosa Sri Negara

Siapakah yang pernah menghuni di bangunan berusia 104 tahun yang sarat dengan sejarah dan seni binanya yang indah?

LALUANNYA di lereng bukit yang dilitupi tumbuhan hijau cukup mendamaikan. Walaupun struktur sejarah ini sebenarnya begitu hampir dengan hiruk-pikuk kota, tetapi bukit-bukau di kelilingnya bagaikan pelindung daripada gangguan bandar raya Kuala Lumpur.

Itulah keunikan Carcosa Seri Negara. Dibina pada tahun 1896, ia menyimpan sejarah yang panjang dengan pelbagai kisah dan warna-warni penghuninya. Namun tahukah anda di sebalik usia 104 tahun itu, bangunan lama itu masih terjaga rapi dan tersergam indah.
Menyingkap sejarah penubuhannya, Carcosa Seri Negara pernah menjadi kediaman Pesuruhjaya British antara tahun 1904 hingga 1941.

KEHIJAUAN yang menjamu mata setiap tetamu yang bertandang ke Carcosa Seri Negara.

Selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu, lokasi itu pernah dijadikan sebagai pejabat Ketua Pegawai Tentera Jepun manakala pada Ogos 1945, bangunan itu kembali menjadi kediaman Ketua Pegawai Tentera British.

Peralihan sekali lagi berlaku apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sekali gus menjadikan Carcosa Seri Negara sebagai pejabat Pesuruhjaya Tinggi British.

Akhirnya pada tahun 1987 kediaman itu diambil alih sepenuhnya oleh pihak kerajaan. Kini, ia beroperasi sebagai sebuah hotel eksklusif dan lokasi pelbagai acara.

Tiba sahaja di hadapan pintu utamanya anda akan melihat papan tanda yang menunjukkan arah lokasi sama ada ingin membelok ke kawasan Carcosa ataupun Seri Negara.

AROMA bunga harum sundal malam menyambut kunjungan tetamu ke Carcosa Seri Negara manakala hiasan dalamannya pula menimbulkan perasaan seolah-olah seperti berada di dalam istana lama.

Sebenarnya, kedua-duanya berada di kawasan sama yang menempatkan beberapa bilik penginapan yang mempesonakan. Dari luar, anda mungkin sudah dapat membayangkan suasananya tatkala berada di kediaman itu.

Kelihatan seperti tidak berpenghuni, namun saat membuka pintu kediaman tersebut pemandangan anda akan disajikan dengan sebuah pasu besar yang dihiasi bunga harum sundal malam.


KAMAR beradu dengan katil kayu antik. CARCOSA SERI NEGARA menyediakan suite berharga RM1,100 hingga RM3,300 semalaman.

Haruman itu menemani perjalanan, sehingga anda bertemu dengan sebuah tangga tinggi. Ia tidak ubah seperti memasuki sebuah istana lama.

Mulut anda tidak akan terlepas memuji keunikannya dan persekitaran yang sunyi membuatkan anda lebih teruja untuk mengelilingi seluruh kawasan tersebut.

Tersergam gah, Carcosa Seri Negara menggamit tetamu dengan memberi layanan mesra dan perkhidmatan eksklusif.

STRUKTUR kediaman ini tidak pernah diubah meskipun sudah berusia 104 tahun.

Tidak seperti hotel-hotel lain, Carcosa Seri Negara yang bertaraf lima bintang hanya menyediakan 13 suite kepada pengunjung mereka.

Berkonsepkan butik hotel, suitenya mementingkan ciri-ciri kemewahan dan eksklusif.

Tersedia untuk dihuni, suite di sini selalunya menjadi pilihan yang cukup selesa, tenang dan menyejukkan pemandangan.

Kesemua suite yang disediakan ditawarkan pada harga yang berbeza-beza berdasarkan keluasan bilik.

Tarikan utama adalah untuk melihat keunikan suite mewah Seri Ehsan yang berharga RM3,500 bagi penginapan satu malam.

Peluang menginap di Seri Ehsan begitu mengujakan kerana ia mempunyai keluasan 1,828 kaki persegi. Harga tersebut bukannya berdasarkan tawaran bilik tetapi ia turut menyediakan ruang balkoni yang
luas.

Selain itu, bilik santapan memuatkan kira-kira sepuluh orang tetamu dan sudut bagi mereka yang ingin berehat sambil berbual membincangkan sesuatu.

Melangkah masuk ke ruang bilik itu, kemasan susun atur hiasannya tidak menyerabutkan fikiran anda. Suasana dalamannya yang agak tenang dihiasi dengan katil kayu antik bertiang empat.

Menjenguk ke kamar mandi, hati anda pastinya tidak sabar untuk menikmati keasyikan mandian di situ kerana keluasannya memberikan anda lebih pergerakan.

Cermin yang mempunyai bingkai keemasan dan almari yang besar membuatkan penginapan anda lebih privasi.

Bilik eksekutif itu sebenarnya pernah didiami oleh Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II ketika kunjungannya ke Kuala Lumpur pada tahun 1998.

Bukan itu sahaja, ikon antiaparteid Afrika Selatan, Nelson Mandela juga lebih selesa memilih Carcosa Seri Negara sebagai tempat penginapannya.

Walaupun ia sering digunakan sebagai tempat penginapan golongan kenamaan, ini tidak bermakna golongan biasa tidak dibenarkan untuk menginap di Carcosa Negara.

Kesemua suite di sini dibuka kepada orang awam yang mahu menikmati penginapan mewah.

Menginap di Carcosa Seri Negara bermakna anda juga boleh menggunakan perkhidmatan capaian Internet jalur lebar tanpa wayar (WiFi), restoran, kolam renang dan 24 jam pembantu peribadi.

Jika tidak mahu mengeluarkan bajet yang terlalu besar, anda boleh memilih untuk bermalam di suite berharga RM1,100 semalam.

Meskipun harganya agak berbeza dengan Seri Ehsan tetapi anda tetap berpuas hati dengan suite berkeluasan 714.8 kaki persegi itu.

Bersantai di kawasan Carcosa Seri Negara sudah cukup membuatkan pengalaman percutian anda sentiasa tersemat di hati. Anda berada tengah-tengah kota Kuala Lumpur yang sibuk tetapi mata dijamu kehijauan alam.

Mereka yang ingin menikmati keindahan bermalam di kediaman yang sarat dengan seni binaan dan kisah sejarah ini, bolehlah melayari laman sesawang www.ghmhotels.com

Tiada ulasan: