Di Malaysia ketika ini masih terdapat
kelompok umat Islam memandang remeh isu desakan orang bukan Islam untuk
dibenarkan menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan ajaran agama mereka.
Malah kelompok ‘liberalist’ dan ‘pluralist’ Islam ini
menggesa pula umat Islam supaya tidak perlu khuatir jika bukan Islam dibenarkan
menggunakan kalimah tersebut atas alasan kononnya gambaran ancaman kegelinciran
akidah umat Islam adalah sebenarnya hanya datang dari orang Islam yang lemah
iman semata-mata.
Sebenarnya kekhuatiran dan kewaspadaan
itu sangat berasas serta munasabah. Penentangan terhadap penggunaan kalimah
‘Allah’ oleh bukan Islam ini bukan datang dari mereka yang lemah iman tetapi
hadir dari mereka yang sangat arif tentang agama, dakwah dan permasalahan umat Islam
termasuk dari kalangan para mufti dan ulama pelbagai parti politik.
Majlis-majlis agama Islam negeri sendiri
juga telah bertindak memohon kebenaran untuk mencelah dalam semakan kehakiman
terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Hakim Puan Lau Bee Lan pada
5 Mei 2009 yang telah memberikan kebenaran kepada Archbishop of Kuala Lumpur,
Tan Sri Murphy Pakiam untuk memohon bagi semakan penghakiman terhadap keputusan
Kementerian Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam
penerbitan mingguan “Herald - Catholic Weekly.
Pada 21 April 2008, Pakiam telah memohon
semakan kehakiman kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar keputusan
Kerajaan Malaysia yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Herald - The
Catholic Weekly.