Isnin, 3 Ogos 2009

Tip Akuarium: Najis, urin jadi racun ikan

PENJAGAAN akuarium perlu diberi perhatian oleh pemiliknya untuk memastikan tahap kebersihan yang berkekalan serta mengelakkan air daripada dicemari bakteria.

PENJAGAAN akuarium perlu diberi perhatian oleh pemiliknya untuk memastikan tahap kebersihan yang berkekalan serta mengelakkan air daripada dicemari bakteria.

Antara aspek penjagaan yang perlu diberi perhatian ialah pemberian makanan yang tidak berlebihan iaitu satu atau dua kali hari pada kadar yang mencukupi supaya air tidak cepat kotor akibat baki makanan yang gagal dihabiskan ikan selain najis akibat makan berlebihan.

Sekiranya ada tanda ikan tidak normal atau sakit seperti berenang dalam keadaan luar biasa, kecederaan, berubah warna, sisiknya tanggal atau kembang, ikan itu perlu diasingkan dan diberi rawatan.


Kegagalan mengasingkan ikan itu akan menyebabkan penyakit berkenaan berjangkit pada ikan lain. Ini kerana penyakit berkenaan mampu merebak cepat dan boleh menyebabkan keseluruhan air akuarium tercemar dengan bakteria atau virus.

Perlu diingat, ikan yang mati di dalam akuarium perlu dibuang secepat mungkin untuk mengelakkan daripada berlaku jangkitan dan kualiti air juga perlu sentiasa dipantau termasuk tahap pH.

Tahap pH air atau kadar kemasaman air boleh diukur pada nilai 1 hingga 14. Nilai 1 ialah paling masam dan nilai 14 adalah keadaan yang paling alkali. pH air akuarium yang paling sesuai ialah 6.5 hingga 7.5 iaitu neutral.

Untuk menentukan nilai pH, anda boleh menggunakan kertas litmus. Tahap pH air perlu dipastikan dari masa ke semasa untuk mengelakkan ia terlalu berasid.

Ikan dapat hidup dengan baik pada suhu sekitar 26 darjah Celcius hingga 27 darjah Celcius. Suhu yang terlalu tinggi atau terlalu rendah boleh menyebabkan ikan mati. Suhu yang sejuk di bawah 26 darjah Celcius menyebabkan ikan mudah dijangkiti penyakit.

Biasanya keadaan suhu dan iklim di negara kita tidak memerlukan alat pemanas kerana tiada musim sejuk. Suhu bilik adalah cukup sesuai untuk ikan hidup dengan baik. Tetapi anda harus memberi perhatian dengan ikan yang dipelihara di pejabat berhawa dingin yang membunuh ikan kesayangan.

Bahan beracun yang wujud di dalam air ialah amonia dan nitrat. Ia terhasil daripada proses perkumuhan ikan yang dipelihara iaitu bahan buangan urin dan najis. Oleh kerana sistem tangki kita adalah sistem yang seimbang, bahan beracun ini tidak akan memberi kesan kepada kehidupan ikan kerana ia telah ditukar kepada bahan makanan dan baja berguna untuk tumbuhan akuatik di dalam akuarium.

Proses penukaran bahan beracun amonia dan nitrat kepada baja dilakukan oleh tindakan bakteria di dalam penapis pasir di dasar akuarium.

Tiada ulasan: