Isnin, 4 Januari 2010

Isu Jet: Hanya Staf Bawahan Terlibat, Bakal Didakwa

1. Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan hanya kakitangan peringkat bawahan terlibat dalam kes kehilangan dua enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dua tahun lalu.

2. Gani mendedahkan Uruguay merupakan destinasi terakhir kedua-dua enjin G J85-21A itu ditemui selepas ia hilang dari pangkalan udara Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 2007. Bagaimanapun beliau tidak pasti sama ada kedua-dua enjin itu masih berada di Afrika Selatan ataupun sudah dihantar ke tempat lain.

3. Sebelum ini, empat orang termasuk tiga pegawai rendah TUDM ditahan dan dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

4. Polis telah menyiapkan siasatan terhadap kes kehilangan enjin itu, yang mendedahkan ia telah dihantar ke satu alamat di Subang Jaya, Selangor, pada 30 Dis, 2007 dan 1 Jan tahun lepas.

5. Jabatan Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan kes berkenaan bagi membolehkan polis menyiasat lebih lanjut dan mendapatkan dokumen-dokumen yang penting yang berkaitan, di samping mengenal pasti bagaimana enjin ini boleh dibawa ke luar negara.

6. Peguam Negara menyifatkan kes kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E itu sebagai “perkara serius”, dan memberi jaminan pejabat beliau akan berusaha habis-habisan bagi menyelesaikan kes tersebut.

7. Polis telah hantar semula kertas siasatan berhubung kes kehilangan dua enjin jet pejuang milik TUDM kepada Jabatan Peguam Negara setelah diminta membuat siasatan lebih terperinci. Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengesahkan hanya dua enjin sahaja yang hilang dan bukan empat seperti yang dilaporkan sesetengah media berdasarkan sumber.

8. Musa berkata tiada lagi tangkapan akan dilakukan ketika ini dan segala-galanya bergantung kepada jawapan daripada Jabatan Peguam Negara.

Antara nama dan hakikat — Md Asham Ahmad


Akhirnya mahkamah memutuskan bahawa gereja Kristian ‘berhak’ menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada Tuhan yang disembah oleh mereka.


Pastinya mereka telah mengemukakan hujah mereka bagi mempertahankan ‘hak’ itu, dan tidak kurang juga golongan Muslim sendiri termasuk golongan ustaz-ustaz yang memperakui kebenaran hujah itu serta menyokongnya pula.


Di kalangan mereka ialah ustaz-ustaz politik yang hanya melihat keuntungan politik ekoran masalah ini. Akibatnya, belum pun mahkamah memutuskan apa-apa umat Islam di negara ini sudah berkecamuk fikirannya dan berpecah-belah pandangannya.


Hujah utama yang dikemukakan bagi mempertahankan hak orang Kristian itu ialah bukti sejarah, bahawa kalimah Allah telah digunakan oleh orang Arab semenjak sebelum Islam, dan terus digunakan oleh orang Arab Kristian khususnya sehingga kini.


Justeru, mereka berhujah kaum Muslimin, lebih-lebih lagi di Malaysia ini, tiada hak untuk melarang penggunaannya.Sebelum kita mematahkan hujah yang dikemukakan itu perlu dinyatakan dua perkara dasar:


Pertama, bahawa isu ini berkait dengan penggunaan kalimah “Allah” dalam bahasa Melayu, yakni salah satu bahasa yang tergolong dalam rumpun bahasa Islam.


Kedua, hak menggunakan sesuatu kalimah hanya sah apabila hakikat yang dirujuk dengan kalimah itu tidak lain daripada kenyataan yang dimaksudkan oleh kalimah itu. Justeru menjadi kesalahan bagi seseorang yang meletakkan gelaran Ir. di hadapan namanya jika dia bukan seorang jurutera, dan dia tidak boleh mendakwa itu haknya.


Hujah di atas boleh dipatahkan dengan jawapan-jawapan berikut.


Pertama: kalimah Allah adalah nama khas, bukan kata terbitan daripada mana-mana perkataan Arab. Justeru, ia bukan boleh digunakan sebagai kata ganti bagi menterjemahkan sesuatu perkataan daripada bahasa lain. Sebagai bandingan seorang yang bernama Mr. Black tidak boleh ditukarkan namanya kepada Encik Hitam kalau kita berbicara tentangnya dalam bahasa Melayu kerana nama itu adalah nama khas yang merujuk kepada orang yang tertentu.


Kedua: memang benar kalimah itu telah sedia wujud dan digunakan oleh orang Arab semenjak sebelum Islam, akan tetapi itu tidak bermakna mereka memahami maknanya yang hakiki. Sebaliknya mereka telah mensyirikkan maknanya sehinggakan kalimah Allah yang mereka sebut itu sudah hilang hakikatnya, yakni mereka menyebut Allah, tetapi mereka maksudkan yang lain.


Contohnya: sekiranya yang dimaksudkan itu ialah Tuhan yang beranak atau diperanakkan maka itu bukanlah Allah, kerana Allah Maha Esa, tidak beranak mahupun diperanakkan.


Sekiranya mereka berkeras dengan pendapat mereka walaupun setelah nyata kebenaran, maka itu adalah pendustaan dan kekufuran. Justeru al-Quran mengisytiharkan: “Sesungguhnya kufurlah orang-orang yang berkata bahawa Allah itu satu dari tiga” (al-Ma’idah: 73).


Mereka kufur kerana apa yang mereka katakan tentang Allah itu tidak benar, dengan kata lain apa yang mereka maksudkan itu pada hakikatnya adalah pendustaan terhadap Allah.


Ketiga: kedatangan Islam adalah bagi menyucikan kalimah itu daripada penyelewengan makna yang telah berleluasa dan berlarutan zaman-berzaman. Justeru Islam datang dengan kalimah tayyibah (kalimah yang elok): la ilaha illallah, yang mengandungi penafian segala kepalsuan yang dinisbahkan kepada Allah dan pengisbatan bahawa yang layak disembah hanyalah Allah.


Adalah jauh daripada kebenaran mereka yang mendakwa Islam tidak pernah melarang sesiapa pun menggunakan kalimah Allah. Bukankah syirik kemungkaran terbesar yang diperangi oleh Islam? Sesiapa pun yang mensyirikkan Allah pada hakikatnya telah memalsukan makna kalimah itu walaupun mereka tetap menuturkan kalimah itu dengan lidah mereka.


Keempat: oleh kerana bahasa Melayu adalah bahasa Islami, makna yang diisbatkan bagi kalimah ‘Allah’ ialah makna yang dikehendaki oleh al-Quran. Justeru, usaha memberikan makna yang lain bagi kalimah itu mesti dianggap sebagai usaha merosakkan keaslian bahasa Melayu, dan oleh itu menjadi tanggungjawab orang Melayu dan kerajaan yang dipimpin mereka memelihara kesucian bahasa mereka agar tidak dicemari oleh unsur-unsur asing yang boleh mengelirukan pandangan hidupnya. Dalam kekalutan menghadapi acahan ini kita melihat langkah sumbang para ustaz yang diharapkan oleh masyarakat untuk meleraikan kekeliruan mereka.


Seorang ustaz berkata: bahasa dan kalimah yang disebut tidak penting dalam soal akidah Islam.


Daripada ustaz ini harus dituntut penjelasan apakah perbezaan antara kalimah yang baik (kalimah tayyibah) dengan kalimah yang keji (kalimah khabithah) kerana al-Quran sendiri membangkitkan persoalan ini (Ibrahim: 24-27), dan menegaskan bahawa “Allah menetapkan hati orang-orang yang beriman dengan kata-kata yang sabit (yakni la’ilaha illallah) dalam kehidupan dunia dan akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim”.

Apa yang ustaz itu katakan adalah suatu kekeliruan kerana akidah yang benar tidak boleh dipisahkan daripada kalimah yang benar. Alangkah berlawanan sekali apa yang dikatakan itu berbanding seruannya agar umat Islam kembali kepada al-Quran dan Sunnah sedangkan apa yang tercatat pada kedua-duanya itu tidak lain daripada kalimah-kalimah!

Ustaz yang sama juga dengan semberononya menyalahkan ilmu kalam sebagai punca kelemahan akidah kaum Muslimin hari ini. Pada hakikatnya para ustaz yang jahil ilmu kalam seperti beliaulah yang menjadi punca kemerosotan pemikiran Muslim hari ini.

Lantaran kejahilan mereka sendiri, telah memusuhi ilmu kalam dan ahlinya (mutakallimun) yang banyak berjasa itu. Bagaimana boleh dimusuhi ilmu yang memberikan keahlian kepada seseorang bagi memahami Kalam Allah?

Para mutakallimun adalah orang yang amat menginsafi hakikat bahawa bahasa tidak boleh dipisah daripada akal. Justeru al-Quran diturunkan dalam bentuk bahasa kepada makhluk Allah yang berakal kerana hanya yang berakal mampu memahami dan memanfaatkan bahasa. Sebagaimana Allah mengajarkan kita agamanya dengan perantaraan bahasa, demikian jugalah kita menyampaikannya kepada seluruh manusia. Adakah bahasa yang lebih baik daripada yang disusun menurut tertib berfikir yang sihat? Kerana bahasa juga boleh dijadikan alat menyebarkan pemikiran dan akidah yang sesat.

Di sinilah sumbangan besar ilmu Kalam dan para mutakallimun. Mereka mara ke hadapan menghadapi ancaman pemikiran asing menggunakan bahasa bertertib logik bagi mengisbatkan tauhid dan menghancurkan syirik.

Syirik dalam bentuk penyembahan berhala amat mudah difahami walaupun oleh si badwi yang hidup berkelana di padang pasir. Akan tetapi Islam bukan diturunkan hanya untuk orang yang tahap pemikirannya seperti si badwi itu.

Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan dikurniakan ilmu kepada darjat-darjat yang berbagai (al-Mujadalah: 11) kerana tahap akal dan kefahaman mereka tidak setaraf.

Persoalan yang mendasari perbezaan antara agama khususnya antara agama Islam dan Kristian memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap dasar-dasar pemikiran, yakni falsafah.

Asas-asas pemikiran yang mendasari kebudayaan Barat yang begitu berpengaruh pada hari ini juga adalah berakar-umbikan falsafah. Justeru, bagi menghadapi mereka, ilmu kalam dan tradisinya perlu dihidupkan kembali bukan diperangi dan diperlekehkan.

Unsur-unsur syirik yang terkandung dalam falsafah dan ideologi tidak mungkin difahami oleh si badwi dan orang-orang yang memiliki tahap pemikiran setaraf dengannya. Demikian jugalah tauhid, ia hanyalah omongan kosong jika diserahkan pengajarannya di tangan orang yang bukan sahaja tiada kewibawaan tetapi juga terlalu bongkak untuk mengenali dan mengakui empunya wibawa yang sebenar. Inilah masalah sebenar kita. — Utusan Malaysia