BAGI  kaki pancing, apabila keluar memancing, tong air batu atau tempat Menyimpan ikan ibarat satu kewajiban. Jika tidak, ikan yang dikail cepat busuk. Ada beberapa tips untuk mengekalkan kesegaran ikan. 
Pertama,  menggunakan uncang jaring. Uncang biasa digunakan jika memancing di kawasan  berhampiran rumah. Ikan yang dikail dimasukkan ke dalam uncang jaring dan direndam semula ke dalam air bagi membiarkan ikan itu terus hidup. Bagaimanapun saiz ikan terhad kepada yang kecil (kurang lima kilogram). Ikan bersaiz besar tidak sesuai dimasukkan ke dalam uncang jaring kerana jika  meronta, jaring koyak dan ikan terlepas. 
Cara kedua dan paling biasa digunakan  ialah kotak air batu. Ia paling banyak digunakan terutama jika memancing di laut untuk dua atau tiga hari. Ikan yang dikail terus dimasukkan ke dalam tong air batu  supaya sentiasa segar walaupun sudah mati. Ada banyak saiz dan kualiti kotak  menyimpan ikan yang diperbuat daripada gentian kaca atau plastik. Jadi  berhati-hatilah jika membelinya. Biar alah membeli, menang memakai. 
Cara ketiga banyak  diamalkan oleh pemancing yang pergi ke hutan lebih empat hari. Untuk membawa tong ikan adalah tidak praktikal kerana sukar mengangkutnya. Oleh itu, ikan yang dipancing perlu disiang  termasuk membuang perut dan insang sekali. Sebaik-baiknya ikan yang disiang  dielak daripada terkena air. Ikan yang sudah disiang ditabur sedikit garam  sebelum disimpan di dalam bekas simpanan, biasanya tin biskut. Selain itu, ada  pemancing memasukkan surat khabar di dalam perut ikan yang disiang bagi mengelakkan ia menjadi busuk. 
Cara keempat ialah dengan membunuh segera ikan yang diperolehi. Cara ini banyak diamalkan terutama Amerika Syarikat, Kanada dan sebahagian Eropah. Caranya ialah  membunuh ikan secara mengejut menggunakan besi tajam. Ikan itu dibunuh dengan menghentak besi tajam di bahagain kepala iaitu antara mata ikan berkenaan (di mana terletaknya otak). Dengan sekali  hentakkan, besi tajam tadi akan menembusi tengkorak dan mencederakan ikan. Rasional  cara ini ialah ikan yang mati secara perlahan akan mengeluarkan sejenis hormon dari otak. Hormon ini bertindak sebagai perangsang untuk mempercepat proses pereputan protein. Jadi, jika ikan mati secara  mendadak, otak ikan tidak sempat merangsang pengeluaran hormon berkenaan.  Bagaimanapun, cara ini hanya digunakan ke atas ikan yang besar sahaja. 
(Sumber  rujukan: Majalah Wawasan Pertanian).  
Tiada ulasan:
Catat Ulasan