Isnin, 3 Mei 2010

Negeri-Negeri di Malaysia - Johor

Apa kata untuk kali ini aku akan siarkan sejarah dan info tentang negeri-negeri yang ada kat Malaysia ni...Seperti yang semua sedia maklum kat Malaysia ni ada 13 buah negeri dan 3 wilayah persekutuan. Untuk edisi pertama ni aku akan citekan skit pasal negeri kelahiran aku iaitu negeri Johor.

Johor Darul Ta'zim ialah sebuah negeri di Malaysia yang terletak di selatan Semenanjung Malaysia dan bersempadankan:
  • Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang di utara;
  • Laut China Selatan di timur;
  • Selat Tebrau di selatan; dan
  • Selat Melaka di barat.
Kedudukan Johor dari segi keluasan, penduduk dan kepadatan dalam persekutuan Malaysia yang terdiri daripada 14 buah negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) adalah seperti berikut:
  • Keluasan: ke-5 terbesar di Malaysia, dan ke-3 terbesar di Semenanjung Malaysia
  • Penduduk: ke-2 tertinggi di Malaysia serta di Semenanjung Malaysia
  • Kepadatan: ke-7 terpadat di Malaysia serta di Semenanjung Malaysia.
Ibu negerinya ialah Johor Bahru. Darul Ta'zim, nama gelaran Arabnya, bermaksud "tempat perlindungan bermaruah".

Johor terbahagi kepada 10 daerah (merujuk kepada portal rasmi kerjaan negeri johor) seperti berikut:
  • Daerah Johor Bahru
  • Daerah Kulaijaya
  • Daerah Pontian
  • Daerah Kota Tinggi
  • Daerah Kluang
  • Daerah Segamat
  • Daerah Muar
  • Daerah Batu Pahat
  • Daerah Mersing
  • Daerah Ledang (daerah terbaru)
Johor ialah negeri tunggal di Semenanjung Malaysia yang mempunyai pantai di sempadan timur dan barat. Kebanyakan tanahnya rendah dengan bukit-bukau yang bercerun landai. Lokasi tertingginya ialah Gunung Ledang yang berada di paras ketinggian 1,276 meter. Johor mempunyai kawasan hutan simpan paya bakau yang ketiga terbesar di Semenanjung Malaysia dengan keluasan sebanyak 167 kilometer persegi (km2), termasuknya:
  • Hutan Simpan Paya Bakau Sungai Sedili Besar dan Sungai Sedili Kecil;
  • Hutan Simpan Paya Bakau Sungai Lebam.
Negeri ini juga banyak mempunyai pulau. Antara lapan pulau yang terbesarnya ialah:
  • Pulau Tinggi                            
  • Pulau Rawa
  • Pulau Sibu
  • Pulau Tengah
  • Pulau Pemanggil
  • Pulau Aur
  • Pulau Besar
  • Pulau Pisang
  • Pulau Lima.
Bandar-bandar utama di Johor termasuklah Johor Bahru (ibu negeri), Muar, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi dan Segamat.

Sejarah

Kawasan Johor sudah pun bermula pada tahun 800 sebagai suatu petempatan perdagangan yang penting. Semasa abad ke-14, kawasan itu menjadi wilayah tanggungan Empayar Majapahit sehingga pemerintahan Kesultanan Melaka (1400-1511) yang mana negeri Johor menjadi pula salah sebuah jajahan pemerintahannya. Pada tahun 1511, Melaka dikuasai oleh pihak Portugis dan Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka ketika itu, melarikan diri ke Pahang dan kemudiannya ke Johor di mana beliau mengasaskan Kesultanan Johor.

Kesultanan Johor pada akhir abad ke-16 dan ke-17 mengalami perjuangan pewarisan yang berturut-turutan. Ia juga sering mengalami serangan daripada pihak Portugis dan Aceh. Pada 1641, Johor menyokong pihak Belanda menewaskan pihak Portugis di Melaka dan pada 1660, Johor telah menjadi sebuah entrepot yang maju.

Johor Moden

Semasa Sir Stamford Raffles tiba di Singapura pada 1818, pulau itu ditadbir oleh Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah. Raffles kemudiannya mengetahui bahawa Tengku Hussein, abang sulung Sultan Abdul Rahman, telah digugurkan sebagai sultan kerana tidak berada di sisi ayahandanya semasa kemangkatan. Raffles mengambil kesempatan dalam keadaan ini untuk menyokong Tengku Hussein menjadi sultan dan sebagai ganti, satu perjanjian dimeterai pada 6 Februari 1819 yang mana Tengku Hussein menyewa Singapura kepada pihak British untuk pembukaan pelabuhan di Singapura.

Pada tahun 1855, di bawah perjanjian di antara British di Singapura dan Sultan Ali dari Johor, kuasa memerintah Johor diserahkan kepada Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Temenggung Ibrahim membuka Bandar Tanjung Puteri di selatan Johor dan menjadikannya sebagai sebuah bandar utama.

Pada tahun 1866, Temenggung Abu Bakar, anakanda Temenggung Ibrahim, dilantik menjadi Sultan Johor secara rasmi dan menamakan Bandar Tanjung Puteri sebagai Johor Bahru. Sultan Abu Bakar memperkenalkan sebuah perlembagaan dan menubuhkan sebuah sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan. Dibawahnya, Johor menikmati pembangunan ekonomi yang cemerlang. Permintaan lada hitam dan gambir yang tinggi pada abad ke-19 menyebabkan pembukaan ladang-ladang baru dan kemasukan buruh Cina secara beramai-ramai. Sultan Abu Bakar kemudiannya dikenali sebagai "Bapa Johor Moden".

Pada tahun 1914, Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar terpaksa menerima seorang Penasihat British. Perang Dunia II meletus pada tahun 1939. British yang bertanggungjawab terhadap pertahanan Johor dikalahkan oleh tentera Jepun yang kemudian menduduki Johor dari tahun 1941 hingga tahun 1945. Selepas tamatnya peperangan, British kembali ke Johor dan pada tahun 1946, Johor menjadi sebahagian daripada Malayan Union.

Nasionalisme Melayu yang diketuai oleh Dato' Onn Jaafar daripada UMNO menyebabkan Malayan Union dibatalkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Tanah Melayu kemudiannya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan kemudiannya pada tahun 1963, Johor menjadi salah sebuah daripada 14 buah negeri yang menyertai Malaysia.

Kebudayaan tradisi Melayu Johor

Kuda kepang dan zapin merupakan tarian tradisional Melayu di Johor. Kuda Kepang ialah sejenis tarian yang dipersembahkan dengan kostum yang mewah serta kuda tenunan. Ia memaparkan pahlawan-pahlawan yang berkuda berlawan dalam pertempuran yang semakinnya menjadi cergas sehingga perayaan kemenangan.
Ghazal dan Barongan adalah tulang belakang nyanyian tradisional Melayu. Ghazal melibatkan segolongan kecil ahli muzik yang bermain alat muzik moden dan tradisional, dan seringnya dipersembahkan dalam majlis rasmi.

Di Johor juga terdapat beberapa jenis teater tradisional yang dikenali sebagai Hamdolok, Wayang Wong, Ketoprak dan Wayang Kulit Purwa (atau Wayang Kulit Jawa).

Pakaian tradisional Johor termasuk:
  • Baju cekak musang
  • Baju Teluk Belanga
  • Kurung Johor
  • Kurung Riau
  • Belah kebaya panjang

Pelancongan

Negeri Johor mempunyai banyak tarikan pelancongan, terutamanya:
  • Desaru: pantai-pantai dan padang golf di pantai Laut China Selatan;
  • Johor Bahru: sebuah daerah  yang mempunyai banyak kompleks membeli-belah dan pasar malam;
  • Kota Tinggi: mempunyai air terjun yang tingginya 34 meter.
  • Kukup: sebuah kampung perikanan dengan restoran-restoran makanan laut yang dibina diatas laut;
  • Muar: sebuah bandar yang cantik di tebing sungai;
  • Kepulauan Seribuat: terdiri daripada pulau-pulau yang mempunyai terumbu karang dan pantai yang indah;
  • Tanjung Piai: merupakan hujung yang paling selatan di benua Asia.
Negeri Johor juga mempunyai lima taman negara dengan jumlah keluasan yang melebihi 700 kilometer persegi serta banyak hutan lipur yang lebih kecil untuk menarik kedatangan pelancong:
  • Taman Negara Endau-Rompin
  • Taman Negara Gunung Ledang
  • Taman Negara Tanjung Piai
  • Taman Negara Pulau Kukup
  • Taman Negara Johor Kepulauan Mersing
  • Hutan Lipur Gunung Pulai
  • Hutan Lipur Gunung Arong
  • Hutan Lipur Gunung Lambak
  • Hutan Lipur Gunung Belumut (Moss Mountain)
  • Hutan Lipur Gunung Panti.

Tiada ulasan: