Isnin, 12 Januari 2015

Kenyataan Media YAB Menteri Besar Kelantan - Pasca banjir

Banjir besar yang terjadi di Kelantan dan beberapa Negeri yang lain mengingatkan kita kepada sejarah banjir besar yang berlaku di zaman Nabi Nuh yang telah menenggelamkan seluruh bandar. Semasa zaman Nabi Muhammad SAW, banjir besar telah memusnahkan dinding-dinding Kaabah dan begitu juga di zaman Saidina Umar Al-Khattab, banjir turut memusnahkan bahagian dinding kaabah. Sudah tentulah bencana ini meninggalkan kesan serta hikmahnya yang perlu di ambil iktibar oleh kita semua.

Kerajaan Negeri Kelantan sangat bersimpati dengan situasi mangsa banjir khasnya di sebelah selatan Kelantan, oleh itu Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa inisiatif dan mengambil langkah segera dalam melaksanakan perkara berikut :


1. Menggesa PBT agar segera melaksanakan gerak kerja pembersihan dan memungut sampah sarap yang ada. Kerajaan Negeri telah meluluskan RM 50 ribu kepada setiap PBT untuk tujuan tersebut.

2. Kerajaan berusaha mencari penempatan sementara kepada mangsa-mangsa banjir yang musnah keseluruhan rumah mereka yang mana setakat ini jumlahnya kira-kira 1,500 buah rumah. Setakat ini sejumlah 224 khemah penempatan sementara telah disediakan melalui MKN dan Ketua Jajahan di bandar utama Gua Musang.

3. Kerajaan turut memastikan mana-mana bangunan komersial yang belum diguna atau kuarters Kerajaan atau perumahan untuk di kemukakan kepada Jawatankuasa Task Force Pasca Banjir Negeri dan diselaraskan dengan Jawatankuasa Khas Banjir melalui Timbalan Pengerusinya iaitu YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

4. Setakat ini Kerajaan menganggarkan sejumlah RM 52.5 juta yang diperlukan bagi memenuhi keperluan rumah kepada rakyat yang ditimpa musibah kemusnahan keseluruhan rumah akibat banjir. Untuk itu, Kerajaan berusaha mendapatkan dana dalam jumlah tersebut bagi projek jangka panjang untuk memenuhi keperluan 1,500 mangsa yang telah dikenalpasti setakat ini.

5. Kerajaan amat prihatin terhadap persekolahan anak-anak bagi sesi 2015, dengan itu Kerajaan meluluskan melalui YAKIN dibawah bantuan kemiskinan dan persekolahan sejumlah RM 50 ribu kepada setiap ADUN dan Penyelia DUN bagi tujuan meringankan beban anak-anak ke sekolah.

Disini, Saya turut menyeru kepada semua dermawan serta mana-mana pihak yang berhasrat membantu mangsa-mangsa banjir bolehlah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk membina penginapan sementara sama ada dalam bentuk rumah transit dan juga membekalkan kanvas serta khemah melalui Ketua-Ketua Jajahan.

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
Bertarikh: 14 Rabiul Awwal 1436/5 Januari 2015

Tiada ulasan: