Rakyat Johor terdiri daripada
pelbagai suku Melayu. Yang domain ialah suku Jawa sehingga ada yang masih pekat
atau totok. Meskipun begitu, tidak semua
berasal-usul dari keluarga marhein dari Pulau Jawa. Ada yang terdiri dari
golongan berpendidikan tinggi agama, pendakwah dan juga petani yang berjaya. Tetapi
kerana keluasan tanah terhad di Pulau Jawa maka mereka pun berhijrah ke Negeri
Johor. Kini, mereka adalah rakyat Johor
yang berjaya dan maju dengan hasil perkebunan. Kebanyakan anak mereka
berpendidikan tinggi dan menjawat perkhidmatan awam negeri Johor dan
Persekutuan.
Mengikut sejarah, kedatangan suku
Jawa ke Johor adalah hasil galakan dari Temenggong Daing Ibrahim (1810-1862)
ketika membuka ladang gambir di Johor sekitar
1830-an setelah perusahaan gambir di Singapura gagal kerana kekurangan tanah
dan kayu-kayan yang menjadi bahan bakar utama perusahaan itu. Dasar menggalakkan
pekerja atau kuli bukan sahaja dari Jawa tetapi juga dari Cina bagi memajukan
tanaman gambir melalui sistem kangkar yang diperkenalkan beliau.
Usaha dan dasar memajukan Johor melalui perdagangan hasil hutan dan perladangan gambir
ini serta dasar membawa masuk pekerja luar telah diteruskan oleh anakanda
baginda, Temenggong Abu Bakar (1833-1895). Di zaman Temenggong Abu Bakar dasar
ini dan pembangunan yang terhasil sampai ke puncak klimaks pada tahun 1860
sehingga 1895. Dasar membangunkan negeri yang diterajui oleh Temenggong Daing Ibrahim
telah diteruskan oleh cucuanda baginda Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (1873-1959).
Suku Jawa digalakkan datang ke
negeri Johor untuk bekerja dan membuka kebun. Disamping sebagai pekerja dan
pekebun mereka juga menjadi pengimbang pola jumlah dan taburan pekerja atau
pekebun bangsa Cina. Satu surat khas terkenal dengan nama Surat Kebenaran
Membuka Kebun dikeluarkan oleh pejabat Temenggong
dan kemudian Pejabat Tanah Negeri Johor semasa pemerintahan Temenggong Abu
Bakar. Pekerja atau orang Cina dikawal
dengan peraturan Kangkar dan Sistem Kangcu manakala orang Jawa dikawal oleh pemimpin
tradsional iaitu penghulu dan orang-orang Kaya selaku pembesar dan wakil raja.
Orang Jawa juga banyak dibawa
masuk oleh Syarikat Konstantinople milik jutawan Arab bernama As Sagof yang
mendapat konsesi membuka ladang seluas daerah Pontian. Beliau ialah sahabat
baik kepada Maharaja Abu Bakar dan beliau telah membawa masuk pekerja-pekerja
Jawa melalui Sistem Haji di mana beliau memberi kemudahan menunaikan fardu haji
kepada pekerja Jawa melalui tabungan upah bekerja di ladang kelapanya di
Pontian. Pekerja Jawa boleh menunaikan fardu haji apabila wang perbelanjaan
yang dikumpulkan mencukupi. Mereka juga diberi kemudahan menunaikan haji
terlebih dahulu dan kemudian bekerja untuk melangsaikan hutang. Sesiapa yang telah menunaikan fardu haji
diberi pilihan untuk pulang ke kampung halaman atau terus menetap atau bekerja
mengumpul wang sebagai bekalan apabila kembali ke tanahair dengan bekerja di ladang
Syarikat Konstantinople.
Perusahaan dan perniagaan
syarikat ini amat terkenal dan terbesar di Asia Tenggara ketika itu.
Perdagangan yang diusahakan oleh syarikat ini termasuk perkapalan, pengangkutan
laut, perladangan dan juga perniagaan barang-barang nusantara dan juga dari
Cina ke Timur Tengah sehingga ke Konstantinople di Turki. Keluarga As Sagof
memiliki puluhan kapal sendiri dan sebahagian besarnya berkuasa dan
berinjin wap. Ladang-ladangnya terdapat di Pulau Muluku, Kalimatan atau Borneo,
Pulau Jawa, Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu khususnya di Johor. Pejabat-pejabat
pengurusan syarikat ini terdapat di Turki, Saudi Arabia,
Yemen, India,
Sumatera, Pulau Jawa dan di Singapura. Pejabat terbesarnya terletak di
Konstantinople Turki dan di sebelah timur terletak di Singapura dan
ditengah-tengah rangkaian perdagangannya yang terletak di Yemen dan juga
India.
Di Johor, kemudahan
atau Sistem Haji yang diperkenalkan oleh
Syarikat Konstantinople mendapat sambutan hangat dari penduduk Jawa yang
beragama Islam kerana tiada berunsur penipuan dan penganiayaan. Berbondong-bondong
orang Jawa mendaftar diri menjadi pekerja Syarikat Perladangan Konstantinople
ini. Sebahagiannya terus menetap dan menjadi rakyat Johor.
Selain daripada itu, fakta penarik orang Jawa
datang ke Johor juga adalah disebabkan oleh galakan Inggeris yang telah
mewar-warkan kegemilangan dan kemakmuran negeri Singapura dan Johor yang
diperintah oleh raja Melayu yang moden dan adil seperti pemerintahan Inggeris
ketika mentadbir pulau Jawa menjaga kepentingan Belanda yang sedang terlibat
dengan peperangan Napoleon. Inggeris telah mengambil kesempatan mempengaruhi
orang Jawa agar menolak Belanda dan menerima Inggeris terus memerintah Jawa.
Ketegasan Belanda mengambil semula negeri-negeri taklukannya setelah Perang
Napoleon berakhir telah mendorong Inggeris berusaha meluaskan pengaruhnya di
Nusantara.
Sistem tanaman paksa oleh Belanda pada tahun 1820-an yang telah memaksa penduduk
Jawa menanam hanya kopi, teh dan rempah ratus sahaja telah menimbulkan
kemarahan orang Jawa yang menghadapi kekurangan bahan makanan. Bagi mengelak
kebuluran, ramai orang Jawa telah berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu dan
tinggal di negeri Melayu dibawah pengaruh pentadbiran Inggeris. Kebanyakan
orang Jawa yang kuat pegangan agama dan enggan tunduk di bawah pengaruh
pentadbir kafir (Belanda) telah memilih Johor untuk menetap. Mereka telah datang secara
berperingkat-peringkat dengan menaiki kapal milik kerabat diraja yang dikenali
sebagai saudagar raja yang mendapat kebenaran khas belayar dan berdagang di
nusantara oleh Belanda.
Mengikut catatan sejarah,
gerombolan atau gelombang penghijrahan orang Jawa ke Semenanjung Tanah Melayu
yang paling aktif ialah pada tahun 1835 sehingga 1900. Ini adalah berikutan
Sistem Rodi atau Tanaman Paksa yang dipaksakan oleh Belanda dan pengeluaran
hukuman berat kepada sesiapa yang engkar perintah sehingga sampai ke tahap
mengancam nyawa. Keluarga kerabat Diraja Cerebon sebagai contoh merupakan
kumpulan saudagar Raja yang paling aktif kerana mereka mahir berlayar dan
berdagang di serata teluk dan rantau serta pelabuhan-pelabuhan di Nusantara. Berdagang dan berdakwah adalah budaya hidup mereka. Mereka
mewarisi ilmu pelayaran, perdagangan di samping penyibaran agama sejak
turun-temurun dan berasal-usul daripada sheikh-sheikh dan pedagang Arab.
Mengikut catatan Belanda, Hj
Ibrahim pernah berulang alik dari Jawa ke Melaka pada tahun 1800-1825 kemudian
anaknya Lebe Mat (Lebai Muhamad) adalah
antara nakhoda Jawa berdarah Arab (Saudagar Raja Cerebon) yang telah membawa masuk
orang-orang Jawa ke Semenangjung Tanah Melayu. Mereka mempunyai jadual belayar
yang tetap dan berulang alik dari Pulau Jawa sejauh Maluku, Tuban, Cerebon, Betawi,
Siak, Singapura, Muar, Melaka, Selangor, Kelang, Bruas dan Kuala Kedah dari
tahun 1800-1879. Muar telah dipilih menjadi penempatan keluarga mereka kerana
terdapat perkampungan Arab di situ.
Kampung Jawa Muar (Kg Bakri)
contohnya telah dibuka pada tahun 1869 oleh Hj Md Noh anak Lebai Muhamad bin Hj
Ibrahim. Sebelum itu, Penghulu Jabar
yang berasal dari Jawa Timur telah mengikut kumpulan pelayaran saudagar raja
Cerebon ke Parit Bakar Muar pada tahun 1860 dan membuka Parit Jawa pada 1865.
Rombongan dan penghijrahan dari Jawa terus berlaku pada tahun-tahun berikutnya
apabila Gerisik, Bukit Gambir, Sungai Raya dan beberapa perkampungan dan desa
dibuka oleh orang Jawa di Muar dan di sepanjang pantai barat Johor atas galakan
Maharaja Abu Bakar yang kemudian bergelar Sultan Johor (1885).
Gerombolan kedua orang Jawa
berhijrah ke Johor, sebelah pantai timur Johor dan di sepanjang pantai barat
Semenangjung adalah pada tahun 1915 sehingga hujung 1930-an berikutan pembukaan
ladang getah, nenas dan teh tetapi penanaman teh tidak digemari oleh orang Jawa
kerana mereka mempunyai pengalaman pahit dan hitam di Jawa sehingga pengusaha-pengusaha
dan peladang Inggeris terpaksa membawa masuk perkerja dari India bekerja di ladang
teh mereka.
Pada tahun 1885, bermula sejak
Maharaja Abu Bakar bergelar Sultan, semua peneroka Jawa dibenarkan menamakan
kampong dan desa yang dibuka oleh mereka mengikut nama atau tempat asal usul
mereka kerana kesetiaan mereka tidak diragui lagi dan Sultan Abu Bakar telah
mendapat mandat dan daulat sultan secara rasmi dari kerajaan Inggeris.
Ketika Zaman Jepun (1942-1945)
terdapat juga catatan sejarah di mana banyak tentera paksa berketurunan Jawa
yang dibawa masuk dari pulau Jawa ke Semenanjung Tanah Melayu gagal pulang dan
akhirnya terus menyusup dan menetap sebagai penduduk di sini. Mereka diterima
dengan baik kerana terdapat suku Jawa yang telah lama bermastautin malah diakui
sebagai rakyat asal Negeri-negeri Tanah Melayu.
Mengikut perincian dari statistik pembancian
Jabatan Perangkaan Negeri Johor (2010), orang Melayu adalah sebanyak 48%, Cina
40% India 8% dll bangsa 4%. Pecahan Suku
Melayu daripada sejumlah 48% itu ialah suku Jawa sebanyak 50%, suku Melayu Bugis 12%, Melayu
Johor 30% dll 8% . Boleh dikatakan orang Melayu suku Jawa adalah tunjang kepada
kemajuan dan pembangunan negeri Johor. Mereka mencurahkan kesetiaan yang tidak
berbelah bahagi kepada kerajaan negeri dan ketika ini mereka juga menjawat jawatan
tinggi dalam banyak jabatan negeri dan persekutuan. Mereka dengan bangga mengaku sebagai bangsa Melayu dan
berasal-usul dari suku Jawa.
credit to Tun Sheikh Engku Bendahara (http://tunsheikh.blogspot.com/)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan