KEPERCAYAAN melarang suami memancing apabila si isteri mengandung
sudah menjadi satu daripada budaya masyarakat Melayu sejak berzaman dulu
lagi.
Menurut pandangan Tok Daing Mahadi,
nelayan berusia 89 tahun dari Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor
ketika ditemui penulis beberapa bulan lalu, bahawa kepercayaan itu
diada-adakan oleh isteri serta keluarga kedua-dua pihak. Larangan supaya
suami tidak turun memancing ketika isteri hamil adalah kerana bimbang
bayi yang bakal lahir akan mendapat kecacatan seperti mulut sumbing,
badan bersisik ataupun ada tabiat menyukai air dan pelbagai lagi
gambaran atau andaian buruk yang semata-mata untuk menakutkan suami.
Larangan ini terus dipercayai oleh mereka yang benar-benar bimbang
kelahiran anak pertama mendapat cacat. Tetapi bagaimana dengan nelayan
yang bergantung hidup sepenuhnya pada hasil tangkapan atau hasil
pancingan ikan di laut, sungai atau tasik? Apakah mereka turut tidak
turun ke laut sepanjang tempoh isteri hamil?
Tok Daing Mahadi mempunyai kepercayaan sendiri lalu
menyerahkan takdir ini kepada Allah. Nelayan terus turun ke laut untuk
mencari rezeki walaupun isteri berbadan dua atau hamil dan Alhamdulillah
bayi yang lahir berada dalam keadaan cukup sifat (tidak ada sebarang
kecacatan).
Begitu juga dengan pandangan seorang tokoh agama
dari Besut, Terengganu Tuan Haji Embong yang tidak menolak kepercayaan
ini adalah satu ikhtiar untuk menyekat suami dari turun memancing ketika
isteri hamil. Ini bukan pandangan ulama atau ajaran agama Islam.
Justeru hakikat ini tidak harus dijadikan amalan untuk menghalang suami
turun ke laut mencari rezeki.
Namun ada kepercayaan berikutan
berlaku kelahiran bayi cacat seperti sumbing bibir kerana suami
dikatakan mengoyak mulut ikan ketika mengeluarkan mata kail yang menelan
umpan lalu cerita itu dikaitkan dengan cacat anak yang lahir itu
sebagai bukti yang terus dipercayai hingga hari ini.
Untuk itu,
sebagai umat Islam kita harus menyedari bahawa Allah tidak menghalang
hamba-Nya keluar mencari rezeki yang halal walau dalam keadaan isteri
hamil. Cuma atas rasa simpati jika mahu diterjemahkan sebagai kasih
sayang pasangan suami isteri, maka suami akan terus berada di samping
isteri pada saat-saat diperlukan. Perasaan kasih sayang begini juga
dituntut oleh agama dan mendapat pahala dari Allah. Namun itu juga bukan
satu petua yang terus menghalang turun ke laut ketika isteri hamil.
Sesungguhnya Allah maha berkuasa lagi maha bijaksana.
* Sumber: Joran, Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan