Ahad, 29 September 2013

CARA MENEGUR DALAM ISLAM

Media sosial pada masa kini telah digunakan secara meluas. Tidak kira usia, jantina, bangsa mahu pun budaya. Acap kali kita dapati terdapat komen-komen di media sosial yang menegur atau memberi pandangan kepada 'status' rakan atau pengguna lain yang akan mendatangkan ketidak puas hatian kepada pengguna lain atau kepada diri rakan yang ditegur itu.  Hal ini terjadi mungkin disebabkan oleh masyarakat kita sendiri yang tidak tahu CARA YANG SESUAI untuk menegur seseorang itu. Kebanyakan kita lebih suka menyindir atau menghentam seseorang itu SECARA KASAR bagi memberi keinsafan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.


"Hai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada pemangku kekuasaan di antaramu. Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu (perkara), kembalilah ia kepada (kitab) Allah dan (sunah) Rasul, jika kamu benar-benar beriman terhadap Allah dan hari kemudian. Itulah yang lebih baik dan lebih bagus kesudahannya."
An-Nisa ayat 59

Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 59 tersebut dengan jelas memperingatkan umat Islam supaya tidak membiarkan sesuatu pertelingkahan atau perbezaan pendapat itu mencetuskan perpecahan di antara mereka.
Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah. Justeru apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan untuk memburukkan sesiapa.

Allah telah mengingatkan kita dalam surah Yunus ayat 36 dengan menegaskan,

''Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun." 
Yunus ayat 36

Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya.

Janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar. Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah.

Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud;

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik."
An-Nahl ayat 125

Namun begitu sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya. 

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan, ''Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah."

Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai 'orang perantaraan' bagi menjelaskan sesuatu perkara.

Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah;

1) tidak merendahkan ego orang yang ditegur

2) mencari waktu yang tepat

3) memahami kedudukan orang yang ditegur

Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah.

Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita. Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan,

''Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk."
Ali-Imran ayat 103

Hakikatnya, Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain, tidak kita seburuk apa pun kesalahannya.

KESIMPULANNYA

Jika kita menegur orang yang melakukan dosa atau kesalahan lain haruslah dengan cara berhemah,jaga tutur kata ketika menasihatu,jaga hatinya agar tidak terguris hati dan guna cara psikologi untuk membuka hatinya melihat kebenaran.. Insyaallah dengan cara yang betul pasti mereka akan berubah . Tetapi jika sebaliknya tidak usah lah memarahi mereka kerana Hikmah dan hidayah adalah rahsia Allah.Jika kita tak mampu beri mereka pertunjuk cukuplah dengan mendoakan mereka agar kembali ke arah kebaikan. Kerana DOA adalah senjata utama kita sebagai muslim.

KRITIKAN SOSIAL

Sesetengah masyarakat kita lebih gemar menghentam, menghukum orang sesuka hati. Kononnya dengan niat ingin MENEGUR utk kebaikan. Tapi hasilnya apa yang terjadi adalah perpecahan dan pergaduhan.
"Senang cite macam nie lah ehh", setiap manusia tidak sempurna pasti buat kesilapan..

"Daripada kita sibuk menghukum dan menghentam orang, adalah lebih baik kita melihat diri kita atas dosa- dosa yang silam. Kita jadikan kesalahan dan dosa orang lain sebagai IKTIBAR dan CERMINAN DIRI SENDIRI agar kita boleh memperbaiki diri sendiri dan secara tidak langsung mendoakan mereka agar memperoleh hidayah.. "

INSYA'ALLAH....... ^_^

Tiada ulasan: