Ahad, 22 September 2013

Persiapan 3 Kekayaan Sebelum Mati

Datang disambut sehelai sepinggang. Pergi pun sehelai sepinggang. Semua harta yang dikumpul selama ni diagih-agihkan pada waris tanpa berbaki pun untuk si mati. Tapi itulah realiti yang pasti kita lalui suatu hari nanti. 4 Ogos 2013 bersamaan 27 Ramadahan 1434H ayahanda kepada isteri saya (mentua saya) kembali kepada pangkuan Ilahi. Sepanjang menguruskan beberapa hal tentang kematian Allahuyarham, baru saya sedar dah lama betul tak diingatkan pasal mati. Hari-hari sibuk fikir pasal dunia kekadang terlupa persiapan penting untuk mati.

Nak duit berjuta?  Duit tu akan diagih-agihkan pada ahli waris lepas kita pergi. Nak kereta mewah? Kita tetap akan dihantar ke kubur dengan van jenazah. Nak rumah besar siap dengan swimming pool? Kediaman akhir kita tetap kubur yang sempit dan gelap gelita. Nak pakaian berjenama penuh almari? Kita tetap balik pada Tuhan sehelai sepinggang berkain putih menghias diri. Jadi, di mana akhirnya dunia yang kita cari?


Isi Kehidupan Dengan Ibadat & Bakti


Ini antara perkara yang bermain difikiran saya untuk beberapa hari. Di mana nak di bawa dunia yang kita berhempas pulas cari setiap hari kalau akhirnya kita tetap akan mati?! Saya teringat pesanan Ust. Dr. Ahmad Faisal (Universiti Malaysia) dalam kuliahnya, katanya, pastikan hidup kita penuh dengan hanya 2 perkara iaitu:

    a.   Ibadat (menjadi hamba Allah)
    b.   Berbakti (menjadi khalifah Allah di muka bumi)

Di tikar sejadah kita beribadat, habis ibadat kita berbakti. Tak kira apa lapangan sekalipun, kita perlu berbakti kepada manusia kerana Allah. Kalau bekerja, kerja dengan penuh amanah dan terbaik. Kalau berniaga, sebarkan rahmat Tuhan melalui produk dan servis yang kita sediakan. Kalau duduk dalam komuniti, biarlah kita berjasa untuk komuniti setempat. Pendek kata, hidup kita memberi faedah kepada orang lain, sebagaimana pesan Nabi s.a.w, “sebaik-baik manusia ialah orang yang paling bermanfaat buat manusia” (HR At-Thabrani & Daruquthni).

3 Pahala Pencen Selepas Mati


Saya teringat pesanan Nabi, “apabila bila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga (3) perkara; sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain, anak soleh yang mendoakannya” (HR Muslim). Itulah ‘duit’ pencen yang memberikan kekayaan yang kekal abadi.

#1 – Sedekah Jariah


Sedekah jariah bermaksud sedekah yang orang lain dapat manfaat secara berkekalan. Selagi orang memanfaat barang yang kita sedekahkan, selagi itulah ‘duit’ pencen masuk dalam kubur. Bukan setakat sedekah untuk pembinaan surau dan masjid, bahkan sedekah apa sekalipun yang memberi manfaat kepada orang lain secara berpanjangan. Siapa sedekahkan tanah untuk laluan orang, dia akan dapat pahala selagi mana jalan tu dimanfaatkan orang lain. Siapa tanam pokok, dia dapat pahala setiap orang berteduh, atau buah yang dimakan dari pokok tersebut samada dimakan orang atau burung-burung. Dan begitulah seterusnya.

keajaiban sedekahBersedekah, jalan untuk gandakan kekayaan dunia mahupun akhirat.

Macam mana kalau tak ada duit? Jadilah pemudah cara untuk orang bersedekah! Contohnya, ada ramai pelajar pengajian agama di Timur Tengah perlukan bantuan kewangan, Ustaz Faisal mintak sumbangan orang kaya-kaya di Bukit Damansara untuk disalurkan kepada pelajar. Kalau kita tahu ada rumah kebajikan, masjid, atau surau yang perlukan bantuan, apa kata jadi pemudahcara untuk ramai orang sedekah? Pokoknya, tak perlu kaya untuk dapat pahala sedekah jariah ni.

#2 – Ilmu Yang Bermanfaat


Apa sahaja ilmu yang kita ajarkan dan memberi manfaat kepada orang lain samada ilmu akhirat ataupun dunia. Selagi ilmu tu bermanfaat dan dimanfaatkan oleh orang lain, selagi itulah kita akan dapat ‘overriding commission’ selepas mati, dan tak berkurang walau sedikit pun. Siapa ada ilmu agama, ajarkan ilmu agama. Siapa ada ilmu kewangan, ajarkan ilmu kewangan. Siapa ada ilmu masak memasak, ajarkan ilmu memasak. Manfaatkanlah apa medium sekalipun samada ajar personal, bagi public talk, tulis buku, tulis blog, update facebook, upload youtube dsb.

sebarkan ilmu melalui blogSebarkan ilmu dengan medium apa sekalipun. Pahalanya kekal selepas mati.

Macam mana kalau tak ada ilmu? Ustaz Faisal pesan, macam-macam boleh buat sekarang ni. Datang dengar kuliah, rekod dan upload dalam internet. Kita baca artikel yang bermanfaat, fowardkan dengan kawan-kawan. Sharekan di facebook. Daripada share benda yang tak bermanfaat, apa kata buat ‘pahala pencen’ di facebook dengan sebarkan ilmu?

#3 – Anak Soleh Yang Mendoakan


Membesarkan anak-anak dah satu cabaran, tapi usaha mendidik anak-anak soleh lebih mencabar sebab ia bermula dengan diri kita sendiri. Bukan senang nak suruh anak-anak solat, melainkan kita jaga solat kita. Bukan senang nak suruh anak-anak baca Quran, melainkan kita sendiri kena baca setiap hari dulu. Proses mendidik ni perlukan ‘role-model’. Tapi Maha Adilnya Tuhan. Susah payah kita mendidik anak-anak, Dia bagi pahala pencen selepas mati.
membesarkan anak soleh pahala selepas matiCabaran membesarkan anak-anak, tapi pahalanya kekal selepas mati.

Macam mana kalau orang tak ada anak? Pesan Ustaz Faisal, iktibar dari hadis ini ialah kita mesti menjadi asbab untuk orang lain jadi soleh. Tak kiralah anak sendiri, anak angkat, anak saudara, bahkan anak murid sekalipun, tapi yang paling penting kita adalah asbab untuk anak-anak ini jadi orang yang soleh.

Itulah renungan penting untuk saya sepanjang menguruskan hal kematian ayahanda isteri saya. Mudah-mudahan, hidup yang masih berbaki ni dipenuhkan dengan ibadat dan bakti, menjadi orang yang paling bermanfaat untuk orang lain kata Nabi. InsyaAllah.

Wallahu a’lam.


Credit to: MohdZulkifli.com

Tiada ulasan: